Bukan Tentang Manusia


Dulu, aku sekadar sebilah pisau yang suci, tersarung indah dalam pakaian yang istimewa namun aku sekadar kaku tanpa gerakan umpama bahan pameran. 18 April, tarikh itu membawa aku ke sebuah perjalanan yang tidak pernah aku terfikir. Aku didatangi seorang lelaki bernama Vito. Gayanya kasar. Dia menggenggam, mengamati dan membelai jasad besi ini lalu aku dibawa pergi. Di saat itu, aku bagai mula merasakan awan-awan hitam di langit seolah-olah mengekori dan memandang tajam ke arah aku. Dan firasat itu benar.

Malam itu, aku menemani Vito ke suatu kawasan. Aku melihat Vito berkelahi dengan seseorang dalam bahasa manusia yang tidak ku fahami. Semakin lama, suara mereka semakin lantang dan semakin lantang dan tiba-tiba ..... entah bagaimana jasadku terbenam di tubuh lelaki di hadapan Vito.

Aku tidak tahu apakah yang sedang berlaku? Tetapi yang pasti, itulah kali pertama aku mulai merasi darah. Vito mencampak aku ke suatu sudut. Mengapa Vito? Aku lihat Vito berlalu pergi.

Jasadku yang terdampar itu disambut oleh satu tangan yang penuh dengan debaran. Aku lihat wajahnya, bersulamkan kedukaan namun, dia tidak sesempurna manusia yang lain. Aku mulai faham tentang sesuatu perkara yang dinamakan sebagai perasaan. Dia menggenggam aku dengan penuh amarah. Ekor matanya menjeling langkah-langkah akhir Vito yang hampir hilang dalam kelam.

"Kau tunggu. Amin cakap tunggu. Jangan lari," desak lelaki tidak sempurna itu, Amin.

Aku bagai dapat mengagak, yang terbaring ini, abang kepada Amin, lelaki yang tidak sempurna ini. Amin agresif secara tiba-tiba. Belum sempat Vito menoleh, Amin menghayun jasadku untuk menikam Vito. Vito menjerit kesakitan. Aku direnung tajam, Amin disepak tersungkur.

Ketika Amin cuba bangun, bahunya ditahan seseorang. Aku mendengar dia memperkenalkan dirinya kepada Amin. Namanya Jack Han Nom. Aku lihat dia membisikkan sesuatu kepada Amin.

Jack Han Nom mengajarkan sesuatu kepada Amin. Sepanjang aku bersama Amin, aku rasa semakin kuat, semakin berani dan semakin haus akan darah. Aku tidak tahu mengapa. Dari wajah Amin, aku percaya dia juga tidak tahu mengapa. Yang dia tahu, "Tikam! Tikam! Tikam!".

Ketika Amin membersihkan tubuhku, Amin terdengar perbualan Jack Han Nom dengan seseorang. Seseorang itu adalah orang dia kenali, aku juga kenal dia. Vito.

"Kau bunuh abang aku," Amin menggila.

"Sabar, Amin. Letak pisau tu," pujuk Jack Han Nom.

"Kenapa kau bela makhluk tak guna ni? Kalau kantoi nanti macam mana? Celaka!" Vito cuba menyerang Amin.

Amin benar-benar menggila. Dirodoknya perut Vito, ditikamnya Jack Han Nom bertubi-tubi. Aku merasai darah, daging, angin libasan dan darah yang merah.

"Yang baik itu mati, yang jahat itu abadi," Amin berkata kepada dirinya.

Andai aku mampu bersuara, ingin aku katakan, "Yang berdosa itu akan neraka, Amin."

Amin memandang aku. Aku merasai kesedihan dalam genggamannya. Aku dijulang tinggi. Apakah Amin mahu aku menikam dia juga seperti manusia-manusia lain? "Tidak Amin, tidak. Jangan, Amin!"

Waktu itu, masa bagaikan perlahan. Degupan kebuntuan itu jelas aku dengari. Mujur ada tangan yang menghalang.

Amin dibebaskan dari pertuduhan melakukan kesalahan membunuh. Jack Han Nom dan Vito, entah bagaimana perjalanan kematian mereka.

Akyem Samad
Aktivis Seni Indie
El Hesh Indie Moving Production

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ZON AKTIVITI @ PENDAKIAN GUNUNG GADING

DEKON : DEKLAMASI LAKON SEBUAH EVOLUSI

HILANGNYA DARA MALAM AMBANG MERDEKA