KEMBALINYA TERUNA JIWA MERDEKA


Berdasarkan entri yang lepas, saya telah memaparkan kisah suasana Malam Ambang Merdeka yang saya lihat seolah-olah telah hilang dara daripada keperawanannya. Walau bagaimanapun, syukur ke hadrat Ilahi kerana keesokkan harinya iaitu pada tanggal 31 Ogos 2012, sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-55 berjalan dengan baik. Akhirnya, dapat juga saya saksikan kibaran Jalur Gemilang di sini-sana dan mewarna-warnikan pandangan saya. Pada pagi itu jugalah saya baru dapat merasakan bahawa rata-rata insan yang bergelar rakyat Malaysia mempunyai semangat cinta akan negara yang begitu hebat sekali. Walau bagaimanapun, bukan rakyat Malaysia sahaja yang hadir bagi memeriahkan acara itu namun terdapat juga golongan pelancong-pelancong asing dan pekerja-pekerja asing yang turut menghangatkan suasana.



Kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-55 jelas menunjukkan bahawa perpaduan antara kaum berada di taraf keunggulan yang tinggi. Semua hadir dengan satu nawaitu iaitu untuk menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan rakyatnya mampu hidup sebumi tanpa mengira bangsa, latar belakang dan agama serta kepercayaan.



Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang pagi tersebut adalah seperti kawalan kehormat daripada Yang Di-pertuan Agung, tarian citrawarna, senamrobik dan juga perbarisan yang mewakili badan-badan yang wujud di Malaysia ini seperti Badan Penguatkuasa dan Pertahanan.








Setelah keberangkatan Yang Di-pertuan Agung diarak keluar, Perdana Menteri Malaysia memberi ucapannya kepada rakyat Malaysia sekali gus merasmikan program Janji Ditepati yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malaysia sebuah negara yang aman pada dasarnya namun sebarang kemungkinan negatif tidak mustahil mampu berlaku sekiranya ada di antara kita menjadi duri dalam daging, api dalam sekam atau gunting dalam lipatan yang ingin nasib kita tergadai semata-mata kerana keuntungan dunia.



Dalam al-Quran, Allah ada berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat 13, “Wahai manusia! Kami telah ciptakan kamu lelaki dan wanita, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu kenal-mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia daripada kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengenal.”



Oleh hal yang demikian, marilah kita sebagai rakyat Malaysia menolak semua anasir-anasir celaka ini walaupun sebezar zarah dalam kehidupan kita. Jangan kerana wang, tergadai maruah bangsa di najis khinzir. Kekalkan keterunaan jiwa merdeka yang wujud ini agar masa depan kita tersemat di hati, tergenggam di tangan dan berlegar di minda dengan kesucian yang tulus murni di bawah payung bernama perpaduan. Sebelum saya mengakhiri penulisan saya ini, terima kasih saya ucapkan kerana sudi meluangkan masa di zon Lensa ini.


HAK MILIK CIPTA TERPELIHARA - Luqman Akyem ®

Link yang berkaitan :

1)http://luqmanakyem.blogspot.com/2012/09/hilangnya-dara-malam-ambang-merdeka.html

2)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ZON AKTIVITI @ PENDAKIAN GUNUNG GADING

DEKON : DEKLAMASI LAKON SEBUAH EVOLUSI

HILANGNYA DARA MALAM AMBANG MERDEKA