HILANGNYA DARA MALAM AMBANG MERDEKA


Penulisan untuk ruangan entri ini tidak ditokok tambah oleh saya kerana saya menjaga adab penulisan. Oleh hal yang demikian, segala maklumat yang terkandung dalam penulisan ini adalah benar berdasarkan butiran yang dinyatakan oleh individu dan pandangan secara umum.

30 Ogos 2012 merupakan Malam Ambang Merdeka yang sering dibayangkan akan adanya laungan keramat, “Merdeka..!! Merdeka..!! Merdeka..!!”, akan adanya tarian Citrawarna yang melambangkan keharmonian masyarakat dan juga sering digambarkan akan adanya percikan bunga api yang indah di dada langit. Bukankah begitu? Walau bagaimanapun, segala bayangan itu tidak wujud di ibu kota Malaysia yang bernama Kuala Lumpur bertempat di Dataran Merdeka pada saat ketika saya menjejakkan kaki ke sana. Dengar khabar lokasi itu ditutup berikutan untuk acara perbarisan keesokan harinya.

Saya Luqman Akyem, selaku seorang blogger dan juga mahasiswa yang menuntut di UNIMAS dalam program Kajian Politik dan Pemerintahan telah mengambil kesempatan mudah dengan meletakkan diri dalam lautan masyarakat pada Malam Ambang Merdeka untuk menjalankan satu kajian kes persendirian yang bertajuk, “Semangat Patriotisme Dalam Kalangan Masyarakat”.

Melalui hasil kajian kes persendirian tersebut, satu kenyataan peribadi yang mampu saya nyatakan adalah, “Pada Malam Tarikh 30 Ogos 2012, Semangat Cinta Akan Negara Telah Hilang Dan Bertukar Menjadi Semangat Cinta Akan Parti Politik Dan Sasaran Ideologi. Di Samping Itu, Saya Telah Membuat Satu Hipotesis Berbentuk Perumpamaan Yang Berbunyi Umpama Hilangnya Dara Malam Ambang Merdeka”.

Hal ini saya berani nyatakan kerana sebab utama yang saya perolehi melalui kajian secara pemerhatian ialah kibaran Jalur Gemilang telah ditenggalamkan oleh baju berwarna kuning atau lebih dikenali dengan baju yang mengidentitikan sebagai lambang Bersih 3.0.






Ketika saya melilaukan mata untuk mencari bahan-bahan seterusnya, saya terpandang akan dua orang sahabat yang sedang berdiri di tepi jalan sambil merentangkan sejenis bendera yang saya baru sahaja pertama kali melihatnya. Saya segera mendekati mereka dan bertanya akan satu soalan mudah,  “Bendera apa ni, bang?” Menurut salah seorang daripada mereka, bendera yang direntangkan itu diberi nama sebagai bendera “Sang Saka Malaya”. Bendera Sang Saka Malaya ini dikatakan merupakan bendera asal yang mewakili nusantara sewaktu masa dahulu seperti Tanah Melayu, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan beberapa negara lagi. Tambah mereka lagi, bendera Jalur Gemilang yang ada pada hari ini telah diciplak daripada bendera Amerika Syarikat.




Suasana di DataranMerdeka hingar-bingar dengan sejenis tiupan alat tiupan yang saya tidaktahu namanya,  ditiup oleh manusia-manusia yang hadir pada malam itu. Dalam suasana sesak itu, terdapat beberapa gerai kecil dibuka sama ada berbentuk van mahu pun dengan sekadar hamparan untuk meletakkan barangan mereka. Lensa saya tertarik akan salah seorang lelaki yang menjadikan suasana tersebut sebagai lubuk pencarian rezekinya kerana hanya dia yang menjual makanan yang digemari orang ramai iaitu keropok goreng. Sewaktu saya merakam gaya beliau sedang menggoreng, tersipu-sipu malu beliau dan mungkin dalam hatinya berkata, “Ada juga yang nak ambik gambar aku. Nak buat status kat Facebook-lah nanti. Hehe..”


“Hahahahahahahaha….!!!!” Satu himpunan gelak tawa besar kedengaran dari suatu arah. Kelihatan orang ramai berpusu-pusu, berhimpit-himpit mengambil gambar. Saya segera mendekati ke arah mereka untuk mengejar bahan seterusnya dan bahan yang saya temui adalah poster gambar Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri NajibTun Abdul Razak telah dikoyak dan dipijak.



Ragam manusia yang pelbagai. Jika ditanya kepada saya siapa yang saya sokong, saya hanya akan menjawab, “Maaf, saya takkan sokong sesiapa selagi saya belum bekerja. Saya akan sokong dengan siapa yang menerima saya bekerja nanti. Sekiranya kerajaan yang mengambil saya, kerajaanlah yang saya sokong. Sekiranya pembangkang yang mengambil saya, pembangkanglah yang saya sokong. Sekiranya saya bekerja sendiri tanpa mengharapkan sebarang gaji daripada orang lain, saya tidak akan menyokong sesiapa kerana saya bekerja dengan penat lelah saya sendiri.”


Lensa kamera telefon bimbit jenis Samsung Corby 2 GT-S3850 terus mengintai aksi-aksi yang boleh dirakam. Snap..!! Snap..!! Snap..!!




Gelagat dua orang pemuda Cina yang memakai topeng wanita ini telah menarik perhatian saya. Dia dan rakan-rakannya kelihatan seperti cuba memperjuangkan “Himpunan Hijau Raub 902” dengan membawa propaganda “Rakyat Membantah Emas Kotor”. Saya kurang jelas akan isu ini namun saya akan cuba selidik dengan lebih mendalam lagi akan butiran-butirannya yang mungkin boleh diguna pakai pada masa akan datang.




Detik jam 12 tiba dan menandakan telah masuknya ke tarikh 31 Ogos 2012 namun di ruang angkasa tiada percikan bunga api kelihatan. Semua menunggu dengan penuh harapan. Jeritan merdeka pun tiada kedengaran. Hanya bunyi bising yang tiada henti berkumandang.

Timbul beberapa persoalan dari dalam jiwa saya sebagai anak muda yang masihb  belajar mengenal hidup kerana masih kurang ilmu di dada, “Ini ke malam merdeka? Macam malam Bersih 3.0 aje. Bendera Barisan Nasional tak ada ke? Setakat ini saya nampak bendera PAS dan bendera Keadilan sahaja. Mana semangat cinta akan tanah air? Kenapa aku lihat malam ini macam semangat cinta akan parti politik pula yang berganti? Mana laungan semangat lafaz keramat MERDEKA? Tak dengar pun.”
Persoalan akan terus menjadi persoalan dan akan terungkai dengan jawapan apabila tiba masanya. Dunia ada kisah malam dan siang. Untuk ketahui kisah di sebelah siang pula, jangan lupa terus klik link yang berkaitan. Sebelum saya mengakhiri penulisan saya ini, saya hanya mampu katakan terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk entri Septemebr kali ini. Salam. (Tiada komen yang mampu diberikan.)

HAK MILIK CIPTA TERPELIHARA - LuqmanAkyem ®

Link yang berkaitan :

1) http://luqmanakyem.blogspot.com/2012/09/kembalinya-teruna-jiwa-merdeka.html

2)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ZON AKTIVITI @ PENDAKIAN GUNUNG GADING

DEKON : DEKLAMASI LAKON SEBUAH EVOLUSI