DEKON : DEKLAMASI LAKON SEBUAH EVOLUSI






DEKON merupakan kata nama singkatan daripada perkataan “Deklamasi Lakon”. DEKON telah diperkenalkan oleh salah seorang sasterawan negara kita yang disegani iaitu A. Samad Said. Usaha untuk menaikkan martabat DEKON telah dimulakan dengan langkah yang diatur oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) semenjak beberapa tahun ke belakangan ini.

Nama DEKON mungkin agak janggal kedengaran bagi masyarakat hari ini walaupun DEKON sebenarnya telah bertapak di Malaysia lebih daripada tempoh 10 tahun. Walau bagaimanapun, hal ini bukanlah sesuatu yang aneh kerana rata-rata masyarakat lebih terdedah dengan gaya lakonan dan persembahan dalam  versi teater dan filem.

Ruang penulisan saya untuk kali ini adalah untuk mendedahkan serba sedikit tentang DEKON untuk memudahkan rujukan orang ramai yang masih mencari-cari maksud dan jisim dalam DEKON itu. Oleh hal yang demikian, saya cuba berkongsi sebaik-baik mungkin ilmu, pengetahuan dan pengalaman yang tidak seberapa yang saya miliki ini untuk kesenangan bersama.

DEKON yang juga terdiri daripada gabungan abjad yang membentuk perkataan Deklamasi Lakon dijayakan oleh sekurang-kurangnya tiga individu, tidak seperti teater yang memerlukan tenaga pelakon sehingga lebih lima orang. Ketiga-tiga individu ini mempunyai peranan tersendiri untuk menghidupkan cerita. Individu yang berlakon dalam DEKON digelar sebagai Dekonis dan dalam DEKON, Dekonis Utama akan dibantu oleh Dekonis Pembantu.

Soal tentang aspek props adalah untuk menjayakan sesuatu persembahan DEKON, props yang besar dan gah serta mungkin berat tidak digalakkan kerana DEKON amat menekankan aspek kesederhanaan. Walau bagaimanapun, aspek ini bukanlah menjurus kepada “poor theatre”. Aspek kesederhanaan yang dinyatakan adalah seperti penggunaan sesuatu props yang boleh bersifat multi-function. Contohnya, selembarkan kain boleh dijadikan sebagai tuala, baju dan pengikat kepala manakala sebatang kayu boleh dijadikan sebagai pedang, tombak, tongkat dan galah.

Pengunaan busana juga amat mempengaruhi watak dan jalan cerita. Penggunaan busana diguna pakai ketika ingin melakukan perubahan watak. Contohnya, Dekonis Utama asalnya merupakan seorang lelaki tua yang memakai balutan kain pengikat di kepala berubah menjadi seorang wanita dengan membuka balutan kain pengikat di kepala itu dan menjadikannya pula sebagai kain sarung untuk menampakkan watak baru yang dipaparkan adalah seorang wanita, bukan lagi seorang lelaki tua.

Corak persembahan DEKON mungkin tampak mempunyai ciri-ciri corak teater namun sebenarnya perkara ini mempunyai aspek yang berbeza. Contohnya dalam teater, gaya jalan penceritaan adalah menyampaikan mesej dengan berlakon secara berterusan dalam satu kumpulan dari awal sehinggalah ke akhir persembahan namun bagi DEKON, caranya hanya amat ringkas kerana keseluruhan jalan cerita dikawal oleh Dekonis Utama.

Ini bukan contoh DEKON terbaik di Malaysia tetapi ini adalah salah satu contoh DEKON yang dipentaskan.

HAK MILIK CIPTA TERPELIHARA - Luqman Akyem ®

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ZON AKTIVITI @ PENDAKIAN GUNUNG GADING

HILANGNYA DARA MALAM AMBANG MERDEKA