ZON AKTIVITI @ PENDAKIAN GUNUNG GADING

  Salam pembaca semua! Bertemu sekali kita bersama saya, Lokman Hakiem 360 dalam Zon Aktiviti. Baru-baru ini saya dan rakan-rakan seuniversiti saya ada menjalankan satu aktiviti lasak iaitu pendakian Gunung Gading di Lundu, Sarawak. Oleh kerana perjalanan daripada UNIMAS ke Gunung Gading memakan masa sekitar 2 jam, kami bertolak di awal pagi pada 17 Mac 2012.

     Ketika itu, embun dingin masih ganas mencengkam tubuh semua orang. Bermula dari jam 3 pagi agaknya, bukan hanya seorang, tetapi lebih daripada 3 orang. Masing-masing ada misi yang harus dijalankan. Misi OPS! Kej EL Hesh 360 (Operasi Kejutkan Lokman Hakiem 360) bermula!

     Jari-jemari nekad menekan key pad telefon bimbit, sama ada kredit ditelan Celcom atau berjaya diselamatkan, itu bukan penghalang kepada ‘Usaha Tangga Kejayaan’ untuk mengejutkan Lokman Hakiem 360 yang nyenyak tidur. Saya kalau sudah tidur, memang tidur mati. Sedangkan ringtone lagu Danza Kuduro nyanyian Don Omar yang menjadi salah satu lagu tema ‘Fast Five’ sudah berjaya memekakkan teman sebilik saya, namun saya masih teguh kepala beralaskan bantal. Masih tetap tidak mengalah bersama mata yang terpejam lena. (Itu kalau kena tikam pun, jam 11 pagi esok baru sedar. Hehe..)

     Telinga saya terngiang-ngiang mendengar lagu namun otak saya masih gagal menangkap bahawa itu sebenarnya bunyi jam loceng dan juga panggilan yang tidak dijawab. Kena sahaja tepat pada satu panggilan yang diangkat lebih kurang pada jam 4 pagi, antara jawapan yang masih ingat saya jawab adalah seperti, “Hello..hah?? Alamak!” lalu meletakkan telefon dan bergegas untuk segarkan diri. Mandi buffalo tetapi dengan menggunakan sabun Dettol.

     Selesai sahaja berkemas, kasut buruk RM19.90 yang telah banyak berjasa kepada saya dicapai lantas dipakai bukan di hidung, dipakai di kaki. Saya melangkah keluar. Jam sudah sekitar 4.15 pagi. Suasana Kolej Bunga Raya di UNIMAS masih sunyi, saya percepatkan langkah ke Kolej Tun Ahmad Zaidi yang hanya bersebelah sahaja. Selepas itu, kami semua berkumpul di Kolej Cempaka pula untuk upacara pembacaan doa dan persediaan terakhir sebelum memulakan perjalanan. Sekitar jam 5 pagi, 3 buah kereta berkonvoi meninggalkan UNIMAS dan sebuah lagi kereta menunggu di luar. Setelah mengisi minyak di Shell yang berdekatan ...

     “VRRRROOOOMMMMM...VROOOMMMMM!!!!”

     Empat buah kereta buatan Malaysia unggul megah menyusur di jalan raya dan menghangatkan tubuh jalan raya yang masih menggigil kesejukan. Deruman enjin kereta memecahkan kesunyian awal pagi sebelum azan Subuh berkumandang.

     “Bro, cari tempat. Kita solat dulu.”

     Kami singgah di Kampung Stunggang Melayu untuk solat Subuh. Segangster-gangster mana saya sekali pun, solat tak boleh sengaja ditinggalkan langsung. Mesti bersebab!

     Jam hampir 7 pagi dan kami meneruskan perjalanan sehingga ke tempat letak kereta Taman Negara Gunung Gading. Turun sahaja dari kereta, kamera dikeluarkan lantas, Snap! Snap! Snap! Inilah antara pemandangan yang terdapat di sekitar pintu masuk Taman Negara Gunung Gading.




             Taman Negara Gunung Gading


     Cuaca pagi itu tiba-tiba tidak sebegitu baik. Langit enggan berwarna biru. Hanya mendung yang menjadi pilihan hatinya. Tidak lama kemudian, hujan mula tertitis di wajah saya yang berparut bekas jerawat ini, “Ahhh..baik tidur kalau begini. Lagi seronok.”



     Saya dan rakan-rakan seuniversiti segera mencari tempat berteduh. Kami menanti waktu dan mengira detik untuk hujan berhenti di sebuah bangunan yang didirikan di kawasan itu untuk tujuan sebarang aktiviti yang bermoral. Saya melabuhkan tubuh saya di situ. Saya toleh ke kiri. Saya melihat serombongan warga Cina yang bercuti di situ bersila di sebuah laman atas rumah yang disewa. Entah apa perkataan yang terpacul di bibir mereka, saya pun tidak pasti. Mungkin mereka berdoa atau bersyair itu saya tidak pasti. Yang pasti saya sendiri tidak sedar bila saya tertidur.



     Jam sudah hampir 9 pagi. Tiada tanda-tanda hujan mahu berhenti. Atas desakan naluri seorang manusia, masing-masing rela meredah hujan yang gerimis mengundang itu dengan nekad untuk mendaki gunung. Satu per satu langkah diatur dan perjalanan bermula.


Lokman Hakiem 360 @ Gunung Gading

     Walau hujan basah menimpa saya, saya tetap Snap! Snap! Snap! untuk mencari pemandangan yang ingin dikongsi.


Air Terjun 1

Kami bakal melalui Air Terjun Nombor 3 di hadapan.

Papan keterangan.

Seorang rakan saya kepenatan.

Untuk ke Air Terjun Nombor 7, sila belok ke kanan.

Dilarang masuk entah ke mana saya pun tidak tahu.


Pemandangan Hijau (1)

Lokman Hakiem 360 @ Gunung Gading (3)

Pemandangan Hijau (2)

Batuan di Gunung Gading

Rehat sebentar!

Pemandangan Hijau (3)

Langkah demi langkah, kami menemui lokasi air terjun sekali lagi. Dapatlah kami rendamkan kaki kami ke dalam air yang dingin dan rehat untuk seketika.

Air Terjun 2

Pemandangan Hijau



Lalalalalalala.. lalalala.. lalalala..

Lokman Hakiem 360 @ Gunung Gading


     Lebih kurang jam 1 tengahari, akhirnya kami sampai ke puncak. Puncak yang setinggi 3.8 km telah kami tawan tanpa menaiki kereta atau motorsikal. Jika diikutkan hati, ada satu lagi lokasi yang ingin dituju iaitu di Batu Berkubu namun oleh kerana faktor masa, niat itu terpaksa dibatalkan.

Tiba di puncak Gunung Gading.

Di saat menikmati dunia.

                     Mmmuuuaahh.....                                          Huh, selamat sampai juga akhirnya.          

     Gunung Gading ini sebenarnya mempunyai sejarah dan cerita yang tersendiri. Batu Berkubu pernah menjadi lokasi yang menyaksikan kehadiran tentera komunis dan tentera Tanah Melayu suatu masa dahulu. Pastinya sewaktu zaman darurat. Saya berlegar-legar di kawasan puncak Gunung Gading ini mencari pemandangan untuk diambil gambar dan saya menemui rangka sebuah pondok. Saya percaya bahawa lokasi puncak ini pernah menjadi tapak tentera Tanah Melayu berdasar juga penemuan tong-tong lama dan plastik bekas makanan tentera.


Tong besi berbentuk kotak ini saya tidak begitu pasti fungsinya.

     Setelah puas berlegar-legar mengambil gambar, masa untuk turun pula mengambil tempat. Perut saya lapar. Rakan-rakan saya juga begitu. Nasi ayam dan air sirap berlegar-legar di kepala saya.

     “Makanan! Makanan! Makanan!”


Lokman Hakiem360 @ Gunung Gading

     Ketika menuruni Gunung Gading tersebut, boleh dikatakan hampir keseluruhan puncaknya diselimuti kabus. Maklumlah, suasana selepas hujan.



Ulat Gonggok

     Di dalam hutan begini, ada spesis haiwan yang mungkin kita sukar untuk temui di halaman rumah manhu pun di bandar-bandar besar seperti ulat gonggok ini. Besarnya adalah dua kali ganda jari kelingking saya.

     Dalam perjalanan turun, ketika melintasi sebuah lokasi air terjun, saya dan rakan-rakan melihat terdapat barang-barang untuk aktiviti pemujaan seperti bungkusan kain kuning, lilin yang masih menyala dan sebuah patung tersusun di birai batu besar. Tidak lama kemudian, kami terserempak dengan tiga keping duit syiling 10 sen, 10 sen dan 10 sen di atas tanah. Jika mengikut naluri saya, duit itu sekadar ujian daripada bukan manusia. Jika ada yang mengambilnya mungkin ada perkara yang tidak diingini berlaku. Apa-apa pun, Allah S.W.T maha mengetahui. Wallahualam.

     Dari pagi sehinggalah ke petang, kami tiba di kaki gunung sekitar jam 5 petang. Pendakian kali ini agak menarik bagi saya. Sukar dan mencabar. Mujur saya selalu ke gymnasium untuk memastikan tubuh saya mendapat stamina yang berkekalan. J

     Sampai di sini sahaja coretan kali ini untuk Zon Aktiviti @ Pendakian Gunung Gading. Nantikan entri seterusnya, kisah pada sebelah malamnya dan keesokkan harinya. Masih ada cerita yang ingin saya kongsi. Terima kasih kerana membaca!

KARYA & HAK MILIK TERPELIHARA  – Lokman Hakiem 360 ®


Ulasan

ainol akasyah berkata…
best nye naik gunung gading.. ni program under fakulti ke sendiri2 ? teringin nak p naik gunung kat SWAK ni haa :)
Lokman Hakiem berkata…
actually ni termasuk dalam kajian..lokasi pelancongan yg menjadi aset sebagai salah satu ekonomi..hehe..
Tanpa Nama berkata…
taman negara gunung gading ka juga nie?? samaka?? berapa yuran masuk???

Catatan popular daripada blog ini

DEKON : DEKLAMASI LAKON SEBUAH EVOLUSI

HILANGNYA DARA MALAM AMBANG MERDEKA