CINTA SI IBU KUCING



Seekor ibu kucing yang sedang sarat bunting berjalan mundar-mandir tanpa arah tujuan di hadapan rumah Sofia. Si ibu kucing yang sedang sarat bunting itu baru sahaja dibuang oleh entah siapa tuan asalnya seolah-olah meminta simpati untuk menumpang di rumah tersebut. Dari raut wajahnya jelas si ibu kucing itu hampir tidak berdaya lagi untuk berdiri apatah lagi berjalan namun tetap digagahi jua.

     Puan Norma iaitu ibu kepada Sofia yang kebetulan keluar dari dapur rumahnya terpandang akan si ibu kucing itu dan si ibu kucing itu pun berhenti melangkah dengan tiba-tiba. Si ibu kucing itu merenung wajah Puan Norma dengan penuh harapan. Pandangannya sayu.

     “Ishh, kesian ibu kucing ni. Macam lapar aje. Dahlah tengah bunting. Baik aku bagi makan minum sikit,” ujar Puan Norma.

     Puan Norma terus mendekati si ibu kucing tersebut namun si ibu kucing tersebut kelihatan seolah-olah agak takut sedikit. Si ibu kucing mengundur beberapa langkah.

     “Miowww..” dengus si ibu kucing tersebut.

     “Janganlah takut. Mari sini ikut aku. Aku takkan apa-apakan kau.” Puan Normah mengukirkan senyuman di bibirnya.

     Puan Norma membelai tubuh si ibu kucing itu. Si ibu kucing itu bagaikan kesedapan terbaring menggeliatkan dirinya. Mungkin sudah lama tidak mendapat belaian daripada tangan manusia. Puan Norma menggaru-garu dagu si ibu kucing itu lantas merangkulnya dan dibawa masuk ke dalam rumah.

     Puan Norma meletakkan si ibu kucing itu pada suatu sudut dan terus ke dapur kembali. Segara membancuh susu untuk hidangan si ibu kucing itu. Puan Normah menuangkannya ke dalam satu pinggan kecil dan mendekati si ibu kucing itu.

     “Kau mesti haus, kan? Nah, minum susu yang aku buat ni,” ujar Puan Norma lagi.

     Si ibu kucing itu memandang wajah baik hati Puan Norma sambil mendengus, “Miiiooowwww...” Tanda mengucapkan ribuan terima kasih dan mendoakan kesejahteraan ke atas Puan Normah.

     Si ibu kucing itu terus menjilat-jilat susu yang dibuat oleh Puan Normah dengan lidah kecilnya sehingga licin. Sedap barang kali susu yang dibuat oleh Puan Norma. Selesai sahaja membasahkan tekaknya yang kering kerana haus, si ibu kucing itu duduk di suatu sudut.

     Dalam hati si ibu kucing itu tak henti-henti mendoakan kesejahteraan Puan Normah kerana melayan dirinya yang menjadi buangan itu. Dirinya kotor, sarat bunting dan nampak menjijikkan namun semua itu bukan alasan untuk Puan Norma daripada hanya membiarkan makhluk ciptaan Tuhan itu terseksa dalam dunianya yang serba lemah.

     Pada suatu hari ketika si ibu kucing itu berlegar-legar di dalam rumah, perutnya tiba-tiba terasa menendang-nendang. Sakit yang teramat sangat. Si ibu kucing itu segera melompat berlari mencari tempat untuk melahirkan anak-anaknya. Menyedari hal itu, Puan Norma yang kebetulan ada di rumah segera mencari kotak kosong. Biar si ibu kucing itu beranak di dalam kotak itu sahaja. Jika tidak habis kain baju di dalam bakul menjadi tempatnya pula. Habis hanyir dengan darah nanti.

     Apabila sampai tiba masanya, si ibu kucing yang sarat bunting itu pun melahirkanlah anak-anaknya. Empat ekor kesemuanya. Terketar-ketar anak-anak kucing itu cuba bernafas dan berdiri. Matanya masih terpejam namun hidungnya cekap menangkap bau ibunya. Naik turun hidungnya terhidu-hidu mencari arah untuk mendekati ibunya.

     Si ibu kucing itu tanpa rasa geli menjilat-jilat tubuh anaknya. Jilat sehingga kering. Daripada badan anak-anaknya basah diselimuti darah hingga kering nampak bulunya. Comel-comel. Bertambah comel lagi di saat anak-anak kucing itu mengiow.

     “Paaaannggggggg!!!!!!!!!!!”

     Kedengaran bunyi pinggan pecah di suatu malam. Sofia dan ibunya berpandangan sesama sendiri. Persoalan siapa ada di dapur menjadi tanda tanya. Dapur masih gelap. Tidak dibuka lampunya. Pencurikah yang masuk?

     “Hei, siapa yang pecahkan pinggan ni?” bentak abang Sofia yang ada di rumah malam itu.

     “Tak tahu,” jawab Sofia. “Abang pergilah tengok.”

     Abang Sofia terus melangkah melewati laluan ke dapur dan terus mencapai suis lampu. Di saat lampu terbuka, jelas abang Sofia melihat si ibu kucing itu merangkak mencari makanan. Lapar. Maklumlah masih dalam berpantang. Mahu susukan anak-anak lagi. Haruslah makan banyak.

     Untuk kali pertama, tak mengapalah. Tetapi untuk kali kedua, ketiga, keempat dan kali yang seterusnya, kalau pinggan di dapur asyik pecah sahaja, siapa yang tahan. Lantas tanpa berfikir panjang, abang Sofia terus membuang si ibu kucing bersama anak-anaknya sekali pada hari esoknya di sebuah kedai yang terletak memang agak jauh dari rumah.

     Kedai Runcit Saiful menjadi saksi tangan abang Sofia meninggalkan si ibu kucing bersama anak-anaknya di situ. Jerih si ibu kucing bersama anak-anaknya mengiow memohon belas simpati di pagi itu namun langsung tak diendahkan oleh abang Sofia. Geram di hati masih berselubung mengenangkan pinggan yang pecah di rumah.

     Sofia duduk di pondok kecil sekadar mengambil angin luar luar. Kelihatan abangnya dari kejauhan menaiki motorsikal baru pulang dari membuang si ibu kucing bersama anak-anaknya.

     “Abang buang kucing tu kat mana?” tanya Sofia.

     “Kat Kedai Runcit Saiful. Biarlah dia kat situ dengan anak-anak dia,” ujar abang Sofia lantas berlalu pergi masuk ke dalam rumah.

     Matahari kian tegak di atas kepala. Waktu tengahari mengambil tempat menggantikan pagi. Tiba-tiba Sofia terdengar bunyi kucing mengiow. Dalam hatinya, “Ish, takkan ada kucing lain lagi. Kan tadi abang dah buang semua.”

     Sofia mengintai. Melilau matanya bergerak ke kiri dan kanan mencari arah bunyi suara kucing mengiow itu. Matanya terhenti di satu arah. Beberapa ekor anak kucing yang pastinya telah dibuang oleh abangnya pagi tadi kini sedang merangkak-rangkak di atas lantai. Entah bila si ibu kucing itu kembali membawa pulang anak-anaknya.

     “Mak, mak, mak!” Sofia memanggil ibunya.

     “Kenapa?” soal Puan Norma.

     “Tengok ni. Mak dia bawa balik anak dia. Kan jauh kedai tu dari rumah ni.”

     “Abang buang kucing tu kat mana?”

     “Kat Kedai Runcit Saiful.”

     “Pia tunggu kat tepi jalan. Mak nak pergi tengok kejap kat sana.”

     Sofia bergegas menuruti kata ibunya. Ditunggu dengan penuh kesabaran. Ibunya segera ke Kedai Runcit Saiful.

     “Saiful, kau ada nampak kucing tak kat sini?” tanya Puan Norma kepada pemilik kedai runcit tersebut

     “Pagi tadi ada. Tapi sekarang entahlah. Akak tengoklah. Kalau ada,adalah.”

     Puan Norma mencari-cari namun hampa. Langsung tiada kelibatnya. Sofia masih menunggu di tepi jalan. Menunggu di selekoh masuk ke rumahnya. Matanya menangkap kelibat si ibu kucing tersebut tidak lama kemudian. Terhincut-hincut si ibu kucing itu berjalan, kadang-kadang berlari. Melangkah dengan kaki tanpa beralas di atas jalan raya tar yang hitam di bawah terik matahari sambil menggonggong anaknya dari Kedai Runcit Saiful ke rumah Sofia.

     Panas. Sehingga nampak bahangnya terpancar keluar dari jalan raya tar yang hitam itu ke angkasa. Manusia pun tak sanggup berjalan di bawah terik matahari tanpa pelindung apatah melangkah dengan berkaki ayam. Melecet kulit kaki. Tetapi si ibu kucing tidak mengenal semua rasa yang dirasa dan dimiliki oleh manusia. Dalam hatinya ada satu niat sahaja, naluri semula jadi kehaiwanan. Membawa pulang anak-anaknya dengan selamat ke rumah orang yang pernah memberinya minuman dan menyediakan tempat untuknya melahirkan anak.

     Pasti belum sempat meneguk air walau setitik untuk menghilangkan haus di tekak, si ibu kucing berpatah kembali ke Kedai Runcit Saiful untuk mengambil anaknya lagi yang disorokkan agar tiada sesiapa menemuinya selain si ibu kucing itu sendiri. Pandangan mata Sofia sayu. Kasihan.

     Setelah keempat-empat anaknya diambil berulang kali, si ibu kucing itu baru mula merasai keletihan yang amat sangat. Si ibu kucing terus meletakkan anaknya yang terakhir di atas simen dan mencari tempat sejuk untuk berbaring. Dicarinya sehingga berjumpa lantas berbaring di bawah kerusi di dalam rumah. Terjelir-jelir lidahnya menahan penat. Si ibu kucing meletakkan kepalanya untuk berbaring berbantalkan tangannya.

     Sepetang di hari itu, walaupun Puan Norma menyediakan air dan makanan namun si ibu kucing itu langsung tidak menjamah, apatah lagi menyentuhnya. Penat masih belum hilang. Jauh berjalan ulang-alik demi anaknya. Sofia sendiri ke Kedai Runcit Saiful menunggang motorsikal. Makan masa jika berjalan kaki. Alamat sempat berpeluh basah baju dahulu sebelum sampai ke kedai.

     “Kasihan kucing tu,” ujar Sofia.

     “Mana tak kesian. Kucing tu dikira masih dalam tempoh berpantang. Tapi sanggup balik rumah jauh-jauh, ulang-alik ambil anak-anak dia. Hmm.. pasal pinggan pecah tu. Nak buat macam mana. Memanglah ibunya perlukan makanan yang banyak. Kalau tak, macam mana dia nak menyusukan anak-anaknya. Orang pun macam tu juga,” balas Puan Norma sambil melihat si ibu kucing menjilat-jilat membersihkan bulu-bulu di tubuh anak-anaknya.

Nota : Haiwan tak pernah lupa jasa seorang manusia tetapi manusia mudah melupakan jasa seorang manusia. Betapa sayangnya si ibu kucing itu terhadap anak-anaknya. Sanggup berpanas. Rela menderita demi anak-anaknya. Tak sanggup dibuang dan ditinggalkan. Jauh beza dengan manusia kini. Anak yang baru umpama sampah yang tidak berguna. Dicampak merata-rata sehingga tempat pembuangan sampah pun sudah lali menjadi saksi perbuatan insan yang tergolong dalam kategori jahiliyah moden.

KARYA & HAK MILIK TERPELIHARA  – Lokman Hakiem 360 ®

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ZON AKTIVITI @ PENDAKIAN GUNUNG GADING

DEKON : DEKLAMASI LAKON SEBUAH EVOLUSI

HILANGNYA DARA MALAM AMBANG MERDEKA