ZON AKTIVITI @ PILIH KASIH 3


     0769 dan 0770 merupakan angka giliran rakan saya yang membawa Skrip Adnan Semp-it. Saya pula kena giliran 0771 dan saya dipasangankan dengan seorang peserta perempuan yang bernombor 0772. Nasiblah. Skrip yang saya dan dia bawa adalah mengenai si perempuan mengajak si lelaki untuk berkahwin namun si lelaki seolah-olah cuba mengelak daripada untuk berkahwin. Tak pasal-pasal kena berlakon kahwin. Ketika saya sedang membaca skrip yang diberikan oleh pihak penganjur, tiba-tiba saya teringat kepada si dia iaitu Cik Sofia (kekasih sayalah!). Harap-harap cerita dalam skrip ini tidak berlaku kepada kami. Takut.

Peserta 0771 : Lokman Hakiem

     Pencarian pelakon untuk program realti Pilih Kasih 3 telah berlangsung di The Spring, Kuching, Sarawak baru-baru ini. Saya dan rakan daripada unit Drama dan Teater Badan Budaya UNIMAS ada turut menyertai pertandingan ini atas alasan suka-suka dan ingin mendapat penilaian sebenar daripada juri profesional sama ada saya benar-benar berkebolehan untuk berlakon atau tidak. Kebetulan keluar jalan-jalan, apa lagi. Hentamlah. Juri professional yang hadir dalam pencarian pelakon untuk program realti Pilih Kasih 3 di Kuching adalah seperti  Erma Fatima dan Umie Aida dan pada hari itu kebetulan ada Rosyam Noor juga yang turut menjejakkan kaki di Kuching.

Lokman Hakiem 360 & Rosyam Noor

     Sedikit pengalaman yang ingin saya kongsi bersama adalah tahun ini adalah sebenarnya percubaan saya untuk kali kedua dalam ujibakat ini.  Saya sebenarnya pernah juga menyertai ujibakat Pilih Kasih 2 di Danga City Mall, Johor Bahru pada tahun lepas yang diadili oleh Fizz Fairuz dan Along Kamaludin. Nasib untuk terpilih menjadi salah seorang daripada 16 orang peserta yang diperlukan tidak menyebelahi saya. Senang cerita, setakat ini saya hanya mendengar kalimah, “Anda terpilih ke peringkat seterusnya,” di pentas ujibakat sahaja tetapi itu semua bukanlah sesuatu yang mengecewakan bagi saya (maklumlah, tidak memiliki rupa paras yang kacak. Hehe.. )

     Setiap para peserta yang berjaya melepasi peringkat pentas iaitu peringkat pertama dibawa terus ke peringkat kedua iaitu ke peringkat yang agak penting walaupun hanya sekadar di dalam bilik kecil sahaja. Di dalam bilik kecil itulah penilaian melalui rakaman dibuat sama ada peserta yang berjaya melepasi peringkat pertama mampu terus mara ke hadapan atau sebaliknya. Setiap peserta yang dilepaskan ke peringkat kedua diminta untuk mempamer bakat dan kebolehan yang sebenar-benarnya dalam diri seperti melakukan pelbagai ekspresi wajah dan mempamerkan gaya percakapan serta corak mentaliti. Para juri akan duduk bersama-sama dan menilai bakat peserta melalui rakaman yang dibuat. Peserta yang berjaya memikat hati para juri akan disenarai pendek dan berpotensi untuk dipilih menjadi peserta Pentas Pilih Kasih 3.

     Walau bagaimanapun, sama ada terpilih atau tidak ke peringkat yang menjadi idaman semua peserta pencarian pelakon untuk program realti Pilih Kasih, itu bukan alasan kepada saya untuk mengundurkan diri dalam dunia lakonan yang saya ceburi. Lakonan adalah seni eksperimentasi dunia ilhamku.

     Dan di sini saya ingin berkongsi sebahagian video yang sempat dirakam oleh rakan saya yang saya temui berdating. Maklumlah, saya peserta pertama di jam 4 hari Ahad. Rakan saya tidak sempat untuk merakam aksi lakonan berpasangan, monolog dan juga nyanyian. Yang sempat hanyalah sedikit gerak tari yang saya hentam sahaja kerana mereka bersiar-siar terlebih dahulu di The Spring Mall sementara menantikan uji bakat bermula. Jujur saya katakan, saya sebenarnya memang tidak pandai menari. Erma Fatima ada menyuruh kami untuk menari. Dalam hati, alangkah lagi bagus kalau kekasih saya yang sebenar-sebenarnya berada di tempat gadis ini. Barulah seronok. "Sayang, come to papa." Bolehlah saya terus peluk ke, dukung ke, lambung-lambung ke. Lagi romantik begitu pastinya.




     Sewaktu saya bergayut di talian telefon bimbit pada suatu malam (tak mainlah public phone), si dia ada bertanya, “Papa tak nak masuk ke Pilih Kasih?” Sebaik sahaja mendengar soalan itu, saya dengan selamba menjawab, “Tak naklah. Hehe.. Tak ada masa, sayang (padahal sudah pergi ke uji bakat).” Masuk Pilih Kasih? Besar cabarannya, banyak persaingannya. Lagipun, mereka hanya mahu 16 orang peserta sahaja. Saya sedar, saya tidak kacak persis Aaron Aziz. Memang tidak layak dari segi paras rupa. Maklumlah, muka berparut bekas jerawat. Mana ada nilai komersial. Cukuplah saya menjadi artis di hati kekasih saya sahaja buat masa ini. Kalau tiba-tiba suatu hari nanti ada peluang, apa salahnya. Kan?


     Jadi inilah sahaja coretan yang saya kongsi untuk ruangan entri kali ini. Semoga anda terhibur membaca blog saya yang tidak seberapa ini dengan perasaan anda tersendiri. Sebelum mengakhiri penulisan ini, salam mesra dan terima kasih daripada saya, Lokman Hakiem 360 kerana sudi menumpukan mata anda pada blog ini.

KARYA & HAK MILIK TERPELIHARA  – Lokman Hakiem 360 ®

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ZON AKTIVITI @ PENDAKIAN GUNUNG GADING

DEKON : DEKLAMASI LAKON SEBUAH EVOLUSI

HILANGNYA DARA MALAM AMBANG MERDEKA