ZON AKTIVITI @ LALUAN HUTAN ANNAH RAIS, SARAWAK


24 Disember 2011 merupakan satu tarikh telah melakarkan satu lagi cerita buat Lokman Hakiem. Pada tarikh ini, Lokman Hakiem dan rakan-rakan seuniversitinya telah mengikuti satu aktiviti di bawah anjuran Pembimbing Rakan Sisiwa UNIMAS. Aktiviti yang dianjurkan merupakan aktiviti yang boleh dikategorikan sebagai aktiviti lasak iaitu ‘Aktiviti Merentas Laluan Hutan Annah Rais’ di negeri bumi kenyalang Sarawak.

     Lokman Hakiem dan rakan-rakan seuniversitinya bertolak dari UNIMAS pada jam kira-kira 7.30 pagi dan mereka tiba di pintu masuk utama Annah Rais sekitar jam 8.45 pagi. Setibanya mereka di sana, mereka disambut mesra oleh beberapa oleh pemandu arah tempatan yang ditempah khas untuk mengiringi semua pelajar UNIMAS sepanjang menjalani aktiviti ini dari mula hinggalah ke akhirnya.

     Jadi, di ruangan blog ‘Luq Ada Cerita’ kali ini, Lokman Hakiem ingin berkongsi serba sedikit tentang paparan lokasi di laluan hutan Annah Rais.



Ini adalah sedikit gambaran visual dalam bentuk video yang sempat dirakam oleh Lokman Hakiem.


Ketika peluh belum membasahi dahi Lokman Hakiem sebasah-basahnya, Lokman Hakiem mengambil peluang untuk berehat sebentar di air yang dingin sambil menyejukkan kaki.


     Setelah laluan lecak di dalam hutan ditempuhi, Lokman Hakiem dan rakan-rakan seuniversitinya bertemu pula dengan jalan raya yang boleh diumpamakan seperti ular kena palu. Oleh kerana jalan raya ini dibina di kawasan pergunungan maka jalan rayanya juga boleh diumpamakan seperti merangkak di atas perut beruang Zimbabwe sambil menggaru siku. Naik, turun, naik, naik, turun, naik balik. Tengoklah jalannya, masih jauh lagi. Walau bagaimanapun, perjalanan selesa ini hanyalah sementara sahaja kerana laluan hutan bertanah dan berlecak bakal ditempuhi sekali lagi sebelum sampai ke lokasi air terjun.


     Dalam perjalanan ketika menyusuri jalan raya tersebut, tiba-tiba Lokman Hakiem terjumpa papan tanda ini. 20 km/j? Biar betul. Kalaulah papan tanda ini berada di Johor, terutamanya di Ayer Hitam atau Parit Raja di daerah Batu Pahat, memang Lokman Hakiem akan menjadi seorang penunggang motorsikal yang berhemah. Pakai gear 1 seumur hidup. Rosak gear 1, ada lagi gear 2, 3 dan 4.


     Dan tidak lama kemudian, Lokman Hakiem menemui papan tanda ini pula. Buka minda anda. Jangan sempitkan fikiran. Ini bukan papan tanda 'Jambatan Sempit' di hadapan tetapi 'Perempuan Pinggang Ramping' ramai di sini. Hehe.. 


Setelah jalan punya jalan, akhirnya Lokman Hakiem dan rakan-rakan seuniversitinya sampai ke lokasi air terjun yang menjadi penamat bagi aktiviti merentas Laluan Hutan Annah Rais ini.


     Siapa budak-budak itu? Haa... Mereka bukan orang bunian, ya. Mereka adalah manusia biasa juga sama seperti kita. Budak-budak kecil yang tidak berbaju itu sebenarnya merupakan anak-anak kepada sebuah keluarga pelancong dari Mecixo yang kebetulan turut sama berkunjung di air terjun Annah Rais.


     Waktu kian berdetik. Dari jam 9 pagi hinggalah sekitar jam 4 petang, Annah Rais menjadi saksi penerokaan mahasiswa dan mahasisiwi UNIMAS yang dahagakan keindahan alam semula jadi dan kini adalah masa untuk berjalan keluar pergi meninggalkan lokasi Air Terjun dan seterusnya pulang ke Kota Samarahan, Kuching. UNIMAS dalam bayangan mata.


Ini adalah antara pemandangan alam semula jadi yang ada di sekitar kawasan tersebut.


Ini apa anak-anak? Ini sungai, cikgu. Bagus!


Pemandangan gunung.


Langit selepas hujan.


Air bukit yang deras mengalir keluar.


     Keluar sahaja ke jalan raya kembali, hujan dari langit mula turun membasahi Lokman Hakiem. Walaupun sepanjang perjalanan dari awal masuk meredah hutan Lokman Hakiem tidak dibasahi peluh namun kali ini hujan berjaya membasahi tubuhnya tanpa ada halangan.


     Dalam kebasahan itu, perjalanan tetap diteruskan. Turun, naik, turun, naik,naik, naik, dan naik lagi. Tidak lama kemudian, Lokman Hakiem tewas seketika untuk terus berjalan. Dengan berbumbungkan langit yang menangis dan berlantaikan jalan raya, Lokman Hakiem merebahkan dirinya seketika untuk menghela nafas agar sempurna kembali.


Maaf, maaf, maaf. Aduh, penat. Senak pangkal rahim. Huh!


     Mengapa Lokman Hakiem penat sehingga sebegitu rupa? Lihatlah. Graviti bumi di kawasan gunung hebat mencengkam tenaga dalam tubuh manusia sehingga Lokman Hakiem pun terpaksa akur untuk berjalan condong 45 darjah semata-mata untuk menstabilkan dirinya.



     Apa-apa pun, sampai di sini sahaja sedikit sebanyak coretan di Zon Aktiviti daripada Lokman Hakiem yang mampu dikongsikan bersama untuk kali ini. Selamat bertemu kembali pada masa akan datang dengan pelbagai cerita baru dan mungkin menarik hati anda dalam 'Luq Ada Cerita'. Terima kasih kerana sudi melayari blog ini. :-)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ZON AKTIVITI @ PENDAKIAN GUNUNG GADING

DEKON : DEKLAMASI LAKON SEBUAH EVOLUSI

HILANGNYA DARA MALAM AMBANG MERDEKA