JANGAN BERGERAK. ANDA SEMUA DITAHAN!


(Cerita Ini Adalah Rekaan Semata-mata)

Suasana Kampung Bako tiba-tiba kecoh dengan kehadiran 5 orang ahli kongsi gelap Harimau Merah Jambu Yang Seksi. Pasukan polis khas daripada Gerakan Elit Perisik Muda telah diarah untuk membuat siasatan demi mencari bukti yang kukuh sebelum bertindak. Hal ini adalah bertujuan untuk mengelakkan nama baik pasukan polis tercalar jika tersalah membuat tangkapan.

      Ada khabar angin daripada penduduk kampung menyatakan bahawa tujuan utama mereka ke situ untuk memaksa setiap penduduk kampung menampal poster Sharifah Aini dan Hamid Gurka di setiap dinding rumah mereka. Tambah penduduk kampung lagi, sekiranya penduduk kampung gagal berbuat seperti menurut kehendak mereka, nyawa hasil ternakan mereka seperti ayam dan itik akan berada dalam bahaya.

     Setelah 5 hari Koperal Cicie iaitu AJK tertinggi pengurusan makanan dalam pasukan polis khas daripada Gerakan Elit Perisik Muda membuat siasatan di Kampung Bako dengan menyamar menjadi tangga rumah ketua kampung, akhirnya Koperal Cicie berjaya menemui lokasi persembunyian mereka. Koperal Cicie segera menghubungi ibu pejabat untuk menyatakan bahawa beliau terpaksa membuat tangkapan segera kerana 5 oarang ahli kongsi gelap Harimau Merah Jambu Yang Seksi dipercayai turut menghidu kehadiran pihak polis dan bersiap sedia untuk melarikan diri.

     Koperal Cicie terpaksa menangkap 5 orang ahli kongsi gelap Harimau Merah Jambu Yang Seksi secara bersendirian kerana rakan setugasnya kini terlantar di hospital gara-gara terkena badi pundi kencing bergetar kerana terlebih makan lobak hijau. Mata Koperal Cicie tajam merenung jalan yang bakal dilalui 5 orang ahli kongsi gelap Harimau Merah Jambu Yang Seksi. Setiap detik waktu diamati dengan penuh raut wajah yang serius. Walaupun seekor lalat dan langau bermain-main di hujung hidung Koperal Cicie namun Koperal Cicie langsung tidak berganjak apatah lagi mengendahkannya. Waktu yang dinanti telah tiba. Koperal Cicie mula melihat kelibat 5 orang ahli kongsi gelap Harimau Merah Jambu Yang Seksi.



    
      “Jangan bergerak. Anda semua telah dikepung!” sergah Koperal Cicie.

     “Alamak. Kita telah dikepung.” Nizah, Fiza, Zaty, Diana dan Lira iaitu 5 orang ahli kongsi gelap Harimau Merah Jambu Yang Seksi mula kaget. Peluh betina kerana peluh mereka bukan peluh jantan mula membasahi dahi mereka. Mereka ingin melarikan diri tetapi gagal.

    “Syhhh.. Diam. Cuba tenang. Jangan pandang mata dia,” ujar Nizah untuk menenangkan ahli kongsi gelap Harimau Merah Jambu Yang Seksi yang lain.

     Tidak lama kemudian, Inspektor Lokman Hakiem tiba.


     “Koperal Cicie, kenapa kamu tidak menghubungi saya untuk membuat tangkapan? Kan saya dah pesan. Tengok pakaian kamu tu. Langsung tak sesuai. Kan saya suruh kamu menyamar jadi tangga rumah ketua kampung. Macam ini ke pakaian kamu? Hishh.. memalukan saya. Apa-apa pun, tangkap mereka dan saya nak laporan tentang hal ini. Satu perkara lagi, jangan lupa bagi nombor telefon saya kepada mereka. Paksa mereka SMS saya kalau mereka ada kredit. Faham?!” marah Inspektor Lokman Hakiem dan terus berlalu untuk mencari air kerana dahaga.

“Baik, tuan. Saya akan lakukannya mengikut arahan tuan,” ujar Koperal Cicie dengan wajah muram kerana dimarahi dan dalam masa yang sama Koperal Cicie terus memperli Inspektor Lokman Hakiem dengan nyanyian, “Jantan tak guna, jantan tak guna, tak guna, tak guna, tak guna. Chooiiii...” di dalam hatinya.

     5 orang ahli kongsi gelap Harimau Merah Jambu Yang Seksi hanya terdiam memandang kejadian itu. Tiada sepatah kata pun terpacul di bibir mereka. Masing-masing tergamam. Takut, resah, risau dan ghairah menjelma di jiwa mereka. Kehangatan mentari mendinginkan tubuh mereka.



     “Koperal Cicie tak apa-apa?” Sarjan Din datang untuk menenangkan Koperal Cicie.
  
   “Saya tak apa-apa. Cuma sesak nafas. Tak sangka Inspektor Lokman Hakiem memarahi saya sedemikian rupa di hadapan hasil tangkapan kita. Malu saya. Elakkan mereka menulis tentang kes ini di dinding muka buku mereka nanti. Jatuhlah reputasi saya,” ujar Koperal Cicie dengan nada yang perlahan sambil bermain dengan rambutnya.

     “Huh, saya pun semput dengar suara Inspektor Lokman Hakiem tadi. Koperal Cicie...”
  
     “Ya, Sarjan Din?”

     “Tak ada apa-apa. Saya cuma nak beritahu sesuatu.”

 “Apa dia?”

“Saya dahaga. Saya nak minum air sekejap. Jangan marah,ya.”

 Jurukamera dan wartawan dari stesen TV4 dalam segmen berita ‘5 Minit Bersama Penjenayah’ hadir untuk membuat liputan tentang kes penangkapan ahli kongsi gelap Harimau Merah Jambu Yang Seksi.
    
     “Eh, ada kameralah. Mari kita tunjukkan diri kita. Senyum,” ujar Fiza.
   
     “Aku harap orang akan kenal aku lepas ni,” sambung Zaty.

      Setelah semua ahli kongsi gelap Harimau Merah Jambu Yang Seksi ditemu bual, mereka segera dibawa ke balai untuk tindakan lanjut. Kampung Bako kembali aman seperti biasa. Burung-burung kembali berkicauan di pohon-pohon hijau. Matahari yang terlindung awan kini kembali bersinar terang semula.

KARYA & HAK MILIK TERPELIHARA Lokman Hakiem 360 ®

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ZON AKTIVITI @ PENDAKIAN GUNUNG GADING

DEKON : DEKLAMASI LAKON SEBUAH EVOLUSI

HILANGNYA DARA MALAM AMBANG MERDEKA