30 PANGGILAN TIDAK DIJAWAB


     Di suatu pagi, telinga Lokman Hakiem perlahan-lahan  menyambar lagu Bittersweet - Kucing Hitam yang menjadi bunyi deringan telefon bimbit Lokman Hakiem. Nadi Lokman Hakiem juga dapat merasai keghairahan mod getarannya yang tak henti-henti ber’BIZZZZZZZZZ- BIZZZZZZZZZ’ cuba mengejutkan Lokman Hakiem.

     Tidak lama kemudian, entah bagaimana Lokman Hakiem boleh mula tergerak nalurinya untuk membuka mata.  Perlahan-lahan mata dibuka dengan penuh gaya wajah yang tiada perasaan sewaktu bangun dari  tidur. Hembusan nafas segar pertama mula bertebaran. Cicak di dinding hanya memandang Lokman Hakiem dengan penuh rasa terharu tanpa sebab. Tanpa berlengah lagi, cicak tersebut terus berkata, “Chutt..chutt..chutt..” yang membawa maksud dalam bahasa manusia, “Lokman Hakiem umpama Aaron Aziz sewaktu berusia 20 tahun.”

     Lokman Hakiem terus meraba-raba mencari lokasi telefon bimbitnya dengan penuh keikhlasan walaupun bibirnya masih belum mampu menguntum senyuman di pagi hari. Sebaik sahaja tangannya berjaya menyentuh jasad telefon bimbitnya, dengan mata separuh kecil  terbuka, Lokman Hakiem terus membuka kekunci skrin telefon bimbitnya.

     “Perghhhhh….. bapak dia…!!!!!!!!!! 30 PANGGILAN TIDAK DIJAWAB?”

     Rangkaian kata 30 panggilan tidak dijawab menjadi penghias latar telefon bimbit Lokman Hakiem di pagi itu. Matanya yang asalnya hanya terbuka separuh kecil kini terbeliak besar umpama sedang menonton salah satu babak dalam filem seram Karak arahan KRU iaitu sewaktu Kilafairy sedang cuba untuk mandi.

     Mana tidaknya, malam sebelum itu Lokman Hakiem tidurnya pun lambat. Mula-mula bermain permainan komputer sehingga jam 2.10 pagi dan kemudiannya menyambung aktiviti bersarapan di awal pagi dengan Maggi kari bersama dua orang lagi sahabat sambil menonton filem Matra. Walaupun mata masing-masing telah mengantuk namun kerana penangan jalan cerita, emosi dan penghayatan para pelakonnya membuatkan masing-masing tak mampu beranjak daripada terus melekat di kerusi sehingga cerita tamat. Ketika jam menunjukkan lebih kurang hampir 3.55 pagi barulah Lokman Hakiem masuk ke bilik untuk memejamkan matanya.

     Matanya kini lebih liar membuka zon SMS pula. “Fuh, banyaknya SMS.” Belum sempat untuk Lokman Hakiem membalas SMS tersebut, satu panggilan tiba-tiba masuk. Tanpa sempat si pemanggil tersebut bersuara, Lokman Hakiem dengan segera menjawab, “Maaf,maaf. Aku baru bangun. Tunggu sekejap. Aku mandi sekarang.” Lokman Hakiem terus mematikan panggilan kerana takut dileter.

     15 minit berlalu, sekali lagi Lokman Hakiem didatangi 2 SMS yang berbunyi, “Luq, cepat. Aku bagi masa 5 minit.” Lokman Hakiem hanya tersenyum kecil. Tak pernah dalam seumur hidupnya Lokman Hakiem mendapat 30 panggilan yang tidak dijawab. Lokman Hakiem segera bergegas keluar dari biliknya untuk meneruskan hari itu dengan cerita yang akan terlukis dalam gambaran minda.

KARYA & HAK MILIK TERPELIHARA  – Lokman Hakiem 360 ®

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ZON AKTIVITI @ PENDAKIAN GUNUNG GADING

DEKON : DEKLAMASI LAKON SEBUAH EVOLUSI

HILANGNYA DARA MALAM AMBANG MERDEKA